Thursday, 27 June 2019

TABAYYUN SEBELUM MEMUTUSKAN - Iqra' @ Talaqi




Hari ini kita seringkali dilimpahi input maklumat/berita dari pelbagai saluran - akhbar, majalah, You Tube, Whatsapp, Facebook, Twitter sebagainya. Adakala input itu membawa kepada perselisihan disamping menyatakan kebenaran. Yang pasti, limpahan tanpa sempadan ini mudah diperolehi malah dengan pantas hanya di hujung jari, tidak lagi mampu ditapis untuk mempastikan kesahihannya. Sayugia ia mengundang permusnahan persaudaraan sesama kelompok bangsa dan agama.

Keadaan diperkeruhi sekelompok masyarakat netizen selain kejiranan setempat menjadikan gosip ke'aiban aurat seseorang sebagai komoditi perdagangan murah untuk meraih apa sebenarnya kita tak tahu, yang pasti untuk keuntungan dunia. Malah nampaknya hanya untuk tujuan populariti jauh sekali berkait bisnes tetapi munkin juga bagi mengekalkan kuasa politik, agaknya lah, sanggup menjual gosip menyangkut diri dan keluarganya peribadi seseorang yang dimusuhi. Na'uzubillahi Min Zaalik.

Berbohong, memutuskan silturrahim, memboikot, mendiamkan, suka atau benci sesuatu kelompok yang tidak sesuai tempatnya kesemua sudah menjadi lumrah trend semasa, gejala kebiasaan menjadi penyakit masyarakat, bahkan sampai pada tahapan membunuh karakter peribadi malah membunuh jiwa.

Apabila sudah menjadi penyakit wabak berbahaya diluar kawalan minda jiwa yang kacau, pencandu gosip yang sudah kemabukan itu tidak akan sedar bahawsanya menyebarluaskan gosip itu ibarat telah saling memakan daging bangkai saudaranya sendiri.

Allah Ta'ala menggambarkan demikian itu ketika melarang kaum beriman saling ghibah (menggunjing), sebagaimana firman-Nya Al- Hujurat 49 : 12, seperti :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Al Hujurat  - 49 : 12

Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berprasangka, kerana sesungguhnya sebahagian prasangka adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan ke'aiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati ? Sudah tentu kamu jijik kepadanya. Bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Penyakit mengumpat ini tidak akan terubat selama Al Quran hanya diperlakukan sebagai sekadar ilmu pengetahuan yang dibaca dan dikhutbahkan di mimbar, tetapi tidak dijadikan sebagai terapi. Padahal Allah Ta'ala berfirman :
 وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَۙ 

Al Isra'  - 17 : 82

Dan kami turunkan Al-Quran sebagai ubat dan rahmah bagi kaum beriman

Allah Ta'ala juga berfirman : 
إِنَّ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ 

Al Isra' - 17 : 9

Sesungguhnya, Al-Quran ini membimbing ke jalan yang paling lurus. Terapi Al-Quran dengan satu inti kata, iaitu "tabayyun". Allah Ta'ala telah menyebutkan dalam Surah Al-Hujurat 49 : 6 ini :- 
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَٰلَةٍ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَٰدِمِينَ

Al Hujurat - 49 : 6

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.


1. يا أيّها الّذين آمنوا (wahai orang- orang yang beriman).
Ayat ini diawali dengan seruan kepada ahlul-îmân. Disamping kasus ini terjadi di antara kaum beriman seperti yang kami paparkan di atas, juga karena berkaitan dengan perintah yang tidak sah dilaksanakan kecuali oleh orang yang beriman. Ayat ini, sekaligus menunjukkan bahwa penyelewengan terhadap perintah ini dapat mengurangi kadar keimanan seseorang. Oleh karena itu, mari kita mempersiapkan telinga dan hati, seraya memohon kepada Allah agar melapangkan dada kita dengan nasihat ayat ini.


2. إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا (jika ada orang fâsiq yang datang kepadamu dengan membawa berita penting). An-Naba`, artinya isu (kabar) penting. Adapun orang faasiq, ialah pelaku fusuuq, yaitu orang yang keluar dari ketaatan kepada Allah. Setiap kemaksiatan adalah fusuuq. Karena itu, faasiq diklasifikasikan menjadi dua macam, yaitu fâsiq besar dan fâsiq kecil.


Fâsiq besar, sinonim dengan kufur besar, yang mengeluarkan pelakunya dari agama Islam. Dinyatakan oleh Allaah Ta’ala dalam banyak ayat al-Qur`ân: إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ  Sesungguhnya orang-orang munaafik itulah orang-orang yang fâsiq. [at-Taubah/9:67].

At Taubah  - 9 : 67

Kita juga mengetahui, kemunafikan kaum munafikin pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang sering disebutkan dalam Al-Qur`ân ialah kemunafikan i’tiqâdi (besar). Begitu pula tentang Fir’aun dan para pengikutnya:

Berdasarkan ayat di atas, perkataan “fasiq” diambil dari kata “fasaqa” yang digunakan untuk menggambarkan buah yang telah rosak atau terlalu matang sehingga mengelupas kulitnya. Seseorang yang derhaka adalah orang yang tersasar dari koridor agama akibat melakukan dosa besar atau sering kali melakukan dosa kecil. Manakala perkataan “naba” bererti berita yang penting. 

Perkataan “tabayyun” berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud men“thabit”kan dan menyemak asas kebenarannya. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti menfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan. Perintah untuk “tabayyun” merupakan perintah yang sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka. Kalimat فَتَبَيَّنُوٓاْ diterjemahkan dengan “periksalah/jelaskanlah dengan teliti”. Maksudnya telitilah berita itu dengan cermat, tidak tergesa-gesa menghukumi perkara dan tidak meremehkan urusan, sehingga benar-benar menghasilkan keputusan yang benar. 

Berita yang perlu dikonfirmasi adalah berita penting. Berbeza dengan perkataan “khabar” yang bererti berita secara umum. Justeru ayat ini mengajak umat Islam terlihat dituntut untuk menyelidiki kebenaran informasi yang penting untuk kemaslahatan umat. Ayat di atas merupakan salah satu agenda yang ditetapkan agama dalam kehidupan sosial sekaligus tuntunan yang sangat relevan bagi menerima suatu berita. Kehidupan manusia dan interaksinya mestilah berdasarkan hal-hal yang diketahui dan jelas. Manusia sendiri tidak dapat menjangkau seluruh informasi. Oleh kerana itu, ia memerlukan pihak lain. Pihak lain itu pula ada yang jujur dan memiliki integriti sehingga hanya menyampaikan hal-hal yang benar, dan ada pula sebaliknya. Dari sinilah mengapa kita dituntut agar ber“tabayyun”.

Al-Qur’an memberi petunjuk bahawa berita yang perlu diperhatikan dan diselidiki adalah berita yang sifatnya penting. Adapun isu-isu ringan, omong kosong, dan berita yang tidak bermanfaat tidak perlu diselidiki, bahkan tidak perlu didengarkan kerana hanya akan menyita waktu dan energi.

Ayat ini, menurut ulama mufassirin diturunkan menyebut perihal al-Walid ibnu Uqbah ibnu Abi Mu’ith yang ditugaskan Nabi Muhammad ﷺ, pergi menuju ke Bani al-Mustalaq untuk memungut zakat. Ketika anggota masyarakat yang ditujukan mendengar kedatangan utusan Nabi itu, lantas mereka keluar dari kediaman masing-masing untuk menyambutnya sambil membawa sedekah mereka. Tetapi al-Walid menduga bahawa mereka itu akan membunuh dan menyerangnya.

Rasulullah ﷺ tidak senang dengan perkhabaran al-Walid itu lalu Baginda ﷺ memerintahkan Khalid Ibnu Walid menyelidiki keadaan sebenarnya sambil berpesan agar tidak menyerang mereka sebelum permasalahan yang berlaku menjadi jelas. Khalid al-Walid segera mengutus seorang perisik untuk menyelidik perkampungan Bani al-Mustalaq. Ternyata masyarakat di sana masih beriman bahkan mengumandangkan azan untuk melaksanakan solat berjamaah. Khalid kemudiannya mengunjungi mereka lalu menerima zakat yang telah mereka kumpulkan. Kebijaksanaan itu telah menyelamatkan masyarakat Islam daripada tersalah dalam menjatuhkan sesuatu hukuman. 

Allah memerintahkan umat Islam untuk bersikap hati-hati dengan cara meneliti dan mencari bukti yang berkait dengan isu mengenai sesuatu tuduhan atau hal yang menyangkut tentang identiti seseorang. Adab atau sikap yang terkait dengan “tabayyun” ini ditekankan agar kita tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas keaiban dan membahayakan pemikiran. Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran.

Kegagalan mengamalkan tabayyun akan menatijahkan musibah kepada diri dan ummah sehingga membawa kepada penyesalan diri yang teramay didunia dan akhirat. Satu kaedah fiqh menyatakan  إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ  "Sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.

No comments:

Post a Comment